Selasa, 23 April 2013

NUBUATAN DIGENAPI – KITA MASIH BUTA – SIA-SIAKAH TAHUN JUBILI MALAYSIA?

Sepanjang tahun 2011 hingga 2012, saya telah kongsikan beberapa post di Facebook berkisar nubuatan tentang hal-hal yang bakal berlaku di tanah Malaysia. Nubuatan / penglihatan itu bukan milik saya tapi dari hamba-hamba Tuhan yang terpanggil untuk menyampaikannya kepada kita semua. Sejak akhir-akhir ini semakin saya melihat keadaan dan kejadian yang berlaku di sekeliling, imbasan ingatan saya kembali kepada pesan-pesan dari nubuatan dan penglihatan itu.

Saya digerakkan oleh kerinduan roh saya untuk menulis perkongsian artikel ini untuk dikongsikan dengan anda, rakan-rakan Facebook yang dikasihi Tuhan. Petang 5hb Mac 2013, dalam keadaan tubuh yang bertenaga dan aktif bergerak saya dihentikan dan direhatkan di luar sedar saya kerana saya diberitahu bahawa saya perlu mengolah suatu tulisan  sebagai perkongsian dan itu memerlukan kondisi hati yang tenang dan otak yang bertenaga, bukan setakat tubuh yang cergas.  Setelah bangkit dari rehat beberapa jam, suatu kekuatan semacam menaungi saya dan bermulalah penulisan ringkas ini yang ternyata mengambil masa tepat 5 jam untuk saya selesaikan. Semoga perkongsian penulisan ini bermanfaat untuk kita renungkan bersama.

Daripada sekian pesan nubuatan atau penglihatan yang menjadi koleksi, saya memilih tiga yang berikut ini untuk dicantum menjadi isi penting penulisan untuk pembacaan anda (mungkin juga sebagai koleksi anda) dan saya percaya bahawa penulisan ini bukan tulisan yang sia-sia tetapi lebih merupakan suatu panggilan kepada setiap orang percaya untuk mulai turut serta dalam memainkan peranan rohani – Bergabung Doa!! Silakan membaca.....

Saya mulakan dengan Pesan Pastor Julius Suubi dari Uganda yang datang ke Malaysia untuk gabungan Doa Jubili. Pada tahun 2009, Tuhan hadir kepadanya dan memberitahunya untuk memberi amaran kepada Malaysia tentang dosa di tanah ini. Pada tahun 2010, beliau dan sekumpulan rakan pendoa syafaat berpuasa dan berdoa untuk 40 hari bagi Malaysia. Dia mulai digerakkan pada tahun 2010 untuk melawat Malaysia bagi mengongsikan pesan nubuatan itu di pelbagai tempat di seluruh Malaysia. Pada tarikh 17hb September 2012, Pastor Julius Suubi telah berada di sini sekali lagi untuk mengongsikan mesej Tuhan itu kepada gereja-gereja di Malaysia. Petikan daripada pesan Pastor Julius Suubi berbunyi:

Tuhan berkata bahawa Malaysia adalah di bawah perlindungan-Nya tetapi kini ramai penduduknya berpaling jauh daripada-Nya dan jika orang-orang percaya tidak datang kembali kepada-Nya dalam taubat penuh dan tidak bersekutu berdoa bagi Malaysia, maka Malaysia akan memasuki penghakiman dalam tempoh 5 tahun bermula dari tahun 2009. Ini pasti berlaku seperti mana yang telah berlaku di Uganda, Haiti dan Kenya yang memilih tidak percaya kepada pesanan serupa ini sebaliknya mentertawakannya.

Tempoh 5 tahun itu jelas bagi kita :

2009 (Bermula) – 2010 – 2011 – 2012 – 2013 (Memasuki)

Apakah yang telah terjadi kini? Apakah Tuhan bermain-main dengan pesan yang Dia sampaikan kepada orang-orang pilihan-Nya pada generasi ini? Apa yang jelas, orang-orang percaya terus-menerus berdebat tentang denominasi yang betul atau salah dan terkandas dengan mengendahkan kesatuan dalam Tubuh Kristus untuk barang seketika guna untuk dapat menanggapi pesan nubuatan. Tidak kurang juga kedapatan hamba-hamba Tuhan naik dengan keegooan untuk memperlecehkan suatu nubuatan hanya kerana nubuatan itu bukan menyalur melalui denominasi masing-masing? Pastinya Facebook menjadi salah satu serana bukti luahan emosi-emosi itu. Berdoa untuk MALAYSIA? Berapa orang yang benar-benar telah mengambil bahagian menyertai gerakan-gerakan doa di sana sini yang dianjurkan oleh gereja-gereja yang menyahut pesan ini secara positif?

Ketika pesan ini diulang-sebar pada hari ini dalam tahun 2013 ini di tengah-tengah kemelut bermulanya kepenuhan nubuatan yang menunjukkan bibit-bibit bukti, haruskah kita menyaksikan lebih ramai lagi jiwa-jiwa Kristian yang terus berkeras untuk memperlecehkan nubuatan ini?

Bersyukurlah kita kerana Pastor Julius Suubi tidak mengambil langkah berundur Yunus tentang hal ini, sebaliknya beliau lebih memilih untuk mengambil langkah mara Yunus untuk mengkhabarkan amaran dari nubuatan yang disampaikan kepadanya.  Itulah yang membawa gerak kaki hamba Tuhan ini berkunjung ke Malaysia, bukan dengan niat melancong, melainkan untuk menyampaikan pesan nubuatan.

Mulailah Yunus masuk ke dalam kota itu sehari perjalanan jauhnya, lalu berseru: "Empat puluh hari lagi, maka Niniwe akan ditunggangbalikkan."  Orang Niniwe percaya kepada Allah, lalu mereka mengumumkan puasa dan mereka, baik orang dewasa maupun anak-anak, mengenakan kain kabung. “..... Haruslah semuanya, manusia dan ternak, berselubung kain kabung dan berseru dengan keras kepada Allah serta haruslah masing-masing berbalik dari tingkah lakunya yang jahat dan dari kekerasan yang dilakukannya. Siapa tahu, mungkin Allah akan berbalik dan menyesal serta berpaling dari murka-Nya yang bernyala-nyala itu, sehingga kita tidak binasa." Ketika Allah melihat perbuatan mereka itu, yakni bagaimana mereka berbalik dari tingkah lakunya yang jahat, maka menyesallah Allah karena malapetaka yang telah dirancangkan-Nya terhadap mereka, dan Diapun tidak jadi melakukannya. [Yunus 3:4,5,8,9&10]

Ehsan Foto TOP

Kedua, apakah kita telah lupa perkongsian daripada saudara-saudara seiman kita yang disampaikan kepada kita pada tahun 2011 yang mana para hamba Tuhan dan para pendoa syafaat dari negara Taiwan dan Korea bergantian datang menyampaikan pesan penglihatan tentang Burung Besar yang muncul secara tiba-tiba di udara langit negeri Sabah? Kemunculan yang berupa serangan melulu itu memperlihatkan bagaimana Burung Besar itu dengan penuh keegoan dalam megahnya melayang-layang putar di celah awan-awan hitam langit negeri Sabah membawa bersamanya salib-salib patah penuh terisi dalam paruh besarnya. Hamba-hamba Tuhan dan para pendoa syafaat ini menggesa kita merenung secara dalam dan menghidu dari mana arah kemunculan itu. Mereka turut memberi pesan bahawa penglihatan itu bukan mengenai hal kecil tapi yang akan menyebabkan ratap tangis khususnya di kalangan orang-orang percaya sendiri. Jesteru mereka menyeru agar gereja-gereja melakukan gerakan-gerakan doa besar tanpa henti dalam gereja mahupun dalam program-program kesatuan Tubuh Kristus (inter-D) sepanjang tempoh 3 tahun [2011, 2012, 2013 (Jubili Malaysia)] jika kita benar-benar mahu adanya pembebasan dan kemenangan.

Jika orang-orang percaya dari luar begitu prihatin dengan keadaan kita dan tidak menyembunyikan pesan nubuatan serta penglihatan yang mereka terima tentang Malaysia malah sanggup bergerak dari jauh mendatangi kita untuk dapat menyampaikan semua pesan itu, kenapa kita sendiri masih TIDAK mahu prihatin dengan keadaan kita  sendiri? Bukankah kerana kekerasan dan keengganan kita dibawa berdoa bersama-sama yang mungkin telah menyebabkan aura doa untuk negeri ini dan seterusnya untuk negara ini masih tetap menjadi tertawaan oleh kuasa-kuasa kegelapan di udara, langsung lemah?

Mari datang ke hadapan Tuhan dalam pertaubatan dan mohon keampunan kerana ketidak-prihatinan kita terhadap tangisan tanah ini yang sudah mulai teresak-esak. 2013 ini hanyalah suatu titik tentang TELAH bermulanya penggenapan amaran dari nubuatan-nubuatan yang disampaikan. Jangan tunggu 2014 atau 2015 untuk pertaubatan kerana itu mungkin sudah terlalu terlewat. Mari pulihkan keamanan dan kesejahteraan bermula dari nafas rohani kita – DOA!!

Tuhan tidak lalai menepati janji-Nya, sekalipun ada orang yang menganggapnya sebagai kelalaian, tetapi Dia sabar terhadap kamu, karena Dia menghendaki supaya jangan ada yang binasa, melainkan supaya semua orang berbalik dan bertobat.  [II Petrus  3:9]

Ketiga, pada tahun 2012 iaitu hanya tiga langkah (Oktober, November, Disember) menuju tahun 2013, kita dikejutkan oleh satu perkongsian nubuatan dari anak jati negeri Sabah sendiri tentang AMARAN MERAH oleh Tuhan. Kali ini amaran itu tidak lagi disampaikan melalui orang-orang kejauhan tapi kepada penduduk yang lahir dengan ketumpahan darah di tanahair sendiri.

Pesan Pastor Miran, beliau diperlihatkan oleh Tuhan pada tarikh 15hb September 2012 setepatnya pada jam 5 subuh ketika beliau dalam misi  pelayanan di negeri Johor. Pesan itu tentang akan terjadinya pertumpahan darah dari pelbagai pihak di seluruh Malaysia. Ini bakal terjadi oleh:

1.  Parti-parti politik kerajaan dan pembangkang
2.  Antara penganut-penganut agama

Pastor Miran memesankan kepada kita bahawa pertumpahan darah ini adalah yang terbesar dan paling sayu di Malaysia. Ini merupakan salah satu kegelapan yang akan mulai melanda Malaysia pada tahun 2013 ini. Apakah kejadian-kejadian awal pada 2013 ini disusuli oleh insiden Lahad Datu yang terjadi sekarang masih tidak cukup menyatakan bukti tentang kepenuhan nubuatan-nubuatan yang disampaikan bersama-sama AMARAN MERAH ini?

Kegenapan nubuatan bukanlah hal yang terlalu penting yang harus diangguk-anggukkan kepala oleh kita sebagai tanda setuju.  Itu “mati akal” namanya!  Isi penting kepada pesan dan kegenapan itu ialah seruan Tuhan tentang apa yang patut kita lakukan pada saat ini. Apa?? Pastor Miran berkata bahawa AMARAN MERAH ini tidak akan LEBIH teruk sekiranya gereja-gereja Tuhan di seluruh Malaysia bersatu dalam kegerakan DOA yang besar kerana inilah tujuan kenapa Tuhan menyatakn hal ini sesuai dengan petikan Alkitab :

“... Sungguh, Tuhan ALLAH tidak berbuat sesuatu tanpa menyatakan keputusan-Nya kepada hamba-hamba-Nya, para nabi. Singa telah mengaum, siapakah yang tidak takut? Tuhan ALLAH telah berfirman, siapakah yang tidak bernubuat?" [Amos 3:7-8]

Sebagaimana Abraham bersyafaat bagi Sodom dan Gomora, demikian keadaan kita pada saat ini ketika pesan-pesan nubuatan diberikan kepada kita oleh Tuhan melalui orang-orang pilihan. Generasi kita sekarang sudah berlalu dari era suara nabi-nabi, namun melalui pesan kepada orang-orang pilihan, kita sebagai orang-orang percaya perlu bijaksana menanggapinya dan melakukan sesuatu sekalipun populasi kita hanyalah pada posisi minoriti di tanah Malaysia ini. Sebarkan kepada setiap orang percaya supaya berdoa bersama-sama.  Mari, kita berdoa, menangisi dan berpuasa untuk Sabah dan untuk Malaysia amnya. Kita minta ampun kepada kelalaian kita untuk berdoa bagi negara / negeri kita sendiri. Mari kita berseru kepada Tuhan, meminta "belas kasihan" yang semula daripada-Nya. Sungguh! Perlu ada kesedaran untuk hal ini!!

Abraham datang mendekat dan berkata: "Apakah Engkau akan melenyapkan orang benar bersama-sama dengan orang fasik?  TUHAN berfirman: "Jika Kudapati lima puluh orang benar dalam kota Sodom, Aku akan mengampuni seluruh tempat itu karena mereka." Abraham  menyahut: "Sesungguhnya aku telah memberanikan diri berkata kepada Tuhan, walaupun aku debu dan abu. Sekiranya kurang lima orang dari kelima puluh orang benar itu, apakah Engkau akan memusnahkan seluruh kota itu karena yang lima itu?" Firman-Nya: "Aku tidak memusnahkannya, jika Kudapati empat puluh lima di sana."  [Kejadian 18:23,27,28]

Tuhan menyampaikan pesan nubuatan untuk orang-orang yang Dia percayai yang dapat menanggapinya secara roh. Tuhan tidak membazir waktu dengan menyampaikan pesan itu kepada orang-orang TIDAK percaya kerana Tuhan tahu mereka tidak akan menyanggupinya apa lagi untuk mengerti hal yang bersifat roh.  Tetapi kepada orang-orang percaya, Tuhan mempertaruhkan itu sebagai suatu tindakan atas kesedaran agar dilakukan kesatuan doa melawan kuasa-kuasa kegelapan di udara.  Tuhan tahu pasti adanya gerakan serangan besar-besaran yang akan dilancarkan oleh Iblis dan para sekutunya kepada tanah ini pada sekian-sekian tarikh. Jesteru, di manakah orang-orang Kristian pada saat ini yang dianggap Tuhan sebagai orang-orang percaya yang dipercayakan-Nya untuk dapat menyanggupi panggilan kepada kesatuan doa yang kuat? Kenapa kita harus terus-terusan menjadi orang Kristian yang bebal dengan memperlecehkan pesan seperti ini? Kenapa kita terus memilih untuk berdiam dungu ketika pesan disampaikan untuk kemungkinan hal yang bakal terjadi di tempat / negara kita sendiri pada hal kita pernah turut serta menggeleng kepala kepada kebebalan orang-orang di negara lain yang telah mengendahkan pesan Tuhan sehingga membawa kepada berlakunya insiden-insiden berdarah dan ratap tangis?

Kita telah memasuki tahun kelima dari nubuatan yang disampaikan oleh Pastor Julius Suubi, apakah mata dan hati kita masih buta untuk melihat dan merenung secara rohani tentang kejadian-kejadian yang berlaku sejak bermulanya tahun 2013 ini? Tiupan sangkakala menjadi tempik yang lebih nyaring dan jelas terdengar di gereja-gereja dan perhimpunan-perhimpunan rohani bermula pada awal tahun 2012. Apakah maksudnya itu?  Haruskah kita hanya duduk diam tanpa merenungnya:

Adakah sangkakala ditiup di suatu kota, dan orang-orang tidak gemetar? Adakah terjadi malapetaka di suatu kota, dan TUHAN tidak melakukannya? [Amos 3:6]

Jika anda merasakan anda dan rakan-rakan anda terpanggil dalam sensitiviti rohani untuk meresponi kehendak Tuhan dalam peribadi anda masing-masing, silalah kongsikan nota ini kepada rakan-rakan anda iaitu orang-orang percaya yang dikehendaki Tuhan untuk menaikkan persekutuan doa bagi MALAYSIA.  Tuhan mengasihi kita dan Dia mahu agar kita terus memelihara keamanan Malaysia ini sesuai dengan maksud Tahun Jubili Malaysia yang jatuh pada tahun 2013 ini.

Setelah gereja kita masing-masing telah begitu tekun mempersiapkan diri untuk tahun Jubili Malaysia ini, maka inilah panggilan “Right Place, Right Time” kepada kita untuk melakukan tindakan rohani yang lebih sungguh-sungguh lagi agar kita berjaya membawa tahun rahmat Tuhan ini kepada kita dan generasi kita di hadapan. Jangan lupa akan tiga perkara – Pembebasan, Pemulangan, Pembaharuan -yang seharusnya berlaku dalam tahun ke-50 untuk menjadikan tahun ke-51 dan seterusnya secara keseluruhan bertukar sangat berbeza dengan 49 tahun yang lalu.

Jadi, jika anda merasakan bahang kekuatan kuasa kegelapan cuba menggagalkan maksud Tahun Jubili Malaysia ini dari terjadi di tengah-tengah kita dan kita diperlihatkan dengan suasana nyata yang menggerunkan pada fasa pertama tahun 2013 ini melalui insiden-insiden aneh seperti ugutan pembakaran Kitab Suci, pencerobohan mendadak di Lahad Datu, dan sebagainya..... Tenang! Bersukacitalah di dalam Tuhan kerana Dia sungguh Elohim yang hidup yang sanggup memperlihatkan kepada kita tentang kelalaian kita untuk bersekutu dengan-Nya dengan sungguh-sungguh. Dia mahu kita sedar bahawa aura doa kita masih belum cukup kuat, ambillah langkah iman untuk melakukan yang lebih lagi dan bersiap sedialah untuk membalas balik serangan-serangan kegelapan itu dan gagalkan usaha Iblis dan para sekutunya daripada cuba menggagalkan rahmat itu dari jatuh kepada kita. Menangkan semuanya di dalam nama Tuhan Yesus tanpa ada satupun tertinggal atau itu berpotensi menjadi penyesalan kita. Kesungguhan kita akan menjadi haruman yang dapat dihidu oleh Tuhan dan Dia akan menyertai kita dalam perang rohani Tahun Jubili Malaysia ini.  Bala tentera Sorga siap sedia berperang bersama-sama dengan orang-orang percaya!! Haleluyah!! Kudus! Kudus! Kuduslah Yahweh! Elohim kita yang berkuasa dan ajaib!

* Oh ya, Pastor Julius Suubi juga mengongsikan sukacita perayaan Tahun Jubili ini di negaranya sendiri.

Salam Penulisan Dalam Kasih Yesus,
05032013

PERHATIAN

Saya TIDAK memaksudkan penulisan nota ini sebagai penulisan ilmiah yang dilindungi hakcipta, jadi andaBEBAS mengongsikan nota ini dengan saudara-saudara seiman di sekeliling anda, sama ada onlinemahupun offline. Mari kita sama-sama turut serta memberkati orang-orang di sekeliling kita dengan perkongsian yang dapat membangun sensitiviti kerohanian. Satu permintaan saya, bila anda kongsikan silalah turut sertakan sekali ehsan foto untuk nota ini kerana a picture speaks a thousand words.

Setelah anda selesai membaca nota ini dan dapat menanggapi maksudnya, saya menjemput anda untuk menyertai saya melakukan “DOA UNTUK SABAHDOA UNTUK MALAYSIA” pada setiap jam 09:30 malam setiap hari (minimum 30 minit). Kita sama-sama menembusi awan hitam tebal yang menutupi langit negeri Sabah pada ketika ini dengan kekuatan aura kesatuan doa kita yang pastinya akan mengetuk pintu Sorga sehingga Tuhan menaruh belas kasihan-Nya kepada negeri ini lalu membuat semua insiden buruk yang sedang berlaku sekarang berlalu dari tengah-tengah kita.

Anda adalah orang-orang percaya yang terpanggil untuk hal berdoa ini. Ketika saya letakkan nota ini di sini, kita sedang berada pada bulan terakhir dari fasa pertama tahun 2013 (Januari – Mac). Jangan sampai kita memasuki fasa kedua (April – Jun) lalu segala-galanya menjadi semakin terlalu terlewat. Anda adalah orang-orang percaya yang lebih dari mampu untuk menanggapi maksud kegenapan nubuatan yang sedang terjadi di tengah-tengah kita pada ketika ini, jadi dengan iman percayamu, lakukanlah DOA mu dengan ketulusan dan penuh rasa taubat!!

Terima kasih di atas keprihatinan anda.

TUHAN, PULIHKANLAH NEGERI KAMI, BERBELAS KASIHANLAH KEPADA NEGARA KAMI.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
© Hak Cipta Terpelihara. AnakDomba.My. 2009-2013
© All Rights Reserved. AnakDomba.My. 2009-2013